Polis nafi terima laporan berhubung kecurian babitkan pegawai kanan SPRM
Afiezy Azaman
September 20, 2021 08:23 MYT
September 20, 2021 08:23 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik seorang individu yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya mengambil maklum berita tular di media sosial yang mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman kerana terbabit mencuri wang tersebut.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengesahkan bahawa sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian ini.
"Kita nasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar," katanya, pada Isnin.
Pada Khamis, laporan di sebuah blog tempatan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja menyalah guna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.