Polis nafi suspek berkaitan penemuan mayat ditangkap
Bernama
April 17, 2021 06:00 MYT
April 17, 2021 06:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Polis menafikan dakwaan mesej yang tular kononnya suspek berkaitan kes penemuan mayat tanpa identiti dengan kesan bakar di keseluruhan badan Sabtu pagi, telah ditangkap.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata setakat petang semalam tiada sebarang tangkapan berkaitan kes tersebut dilakukan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang mesej atau maklumat tanpa mengetahui kesahihannya," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Sabtu.
Tular di aplikasi WhatsApp sejak petang tadi mengenai satu rakaman suara berdurasi 28 saat memaklumkan tiga suspek telah ditahan dan mayat yang dijumpai itu adalah seorang perempuan berasal dari Dungun dan menyewa di Kampung Tok Dir, Marang.
Pesanan suara tersebut juga turut memberitahu kononnya suspek bertindak membakar mangsa kerana marah apabila mangsa melarikan duitnya.
Kira-kira pukul 7.15 pagi tadi satu mayat tanpa identiti dengan kesan terbakar keseluruhan badan ditemukan di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Air dekat Tepoh oleh pekerja kebersihan.
Mangsa dikatakan telah dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke lokasi penemuan dan dibakar.
-- BERNAMA
#suspek ditangkap
#mesej tular
#Abdul Rahim Md Din
#Kampung Tok Dir
#kampung padang air
#Tepoh
#mayat dengan kesan terbakar