Polis nafi saman tidak dikenakan jika tidak pakai pelitup muka semasa Ramadan, Syawal

Bernama
April 21, 2022 19:43 MYT
Polis hari ini menafikan pihaknya tidak menyaman individu yang tidak memakai pelitup muka sepanjang Ramadan dan semasa sambutan Aidilfitri nanti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis hari ini menafikan pihaknya tidak menyaman individu yang tidak memakai pelitup muka sepanjang Ramadan dan semasa sambutan Aidilfitri nanti.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass ketika dihubungi Bernama sebaliknya berkata penguatkuasaan tetap dilaksanakan ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk kesalahan tidak memakai pelitup muka.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A. Skandaguru menegaskan bahawa SOP fasa peralihan ke endemik yang bermula 1 April lalu masih berkuat kuasa dan pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam.
"Oleh yang demikian, PDRM masih meneruskan tindakan kompaun jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP berkenaan di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini tular di aplikasi WhatsApp satu edaran dengan kepala surat bertarikh 20 April meminta pegawai kanan dan pegawai rendah polis mengambil maklum SOP terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Antara makluman dalam edaran itu adalah tiada lagi saman akan dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, bagaimanapun pasukan pemantau hendaklah memberi nasihat agar orang ramai memakai pelitup muka.
-- BERNAMA
#polis #pelitup muka #Bukit Aman #SOP #COVID-19
;