Polis nafi rancangan serangan bom oleh Daesh di Bintulu

Bernama
Mei 16, 2019 08:26 MYT
Selain Bintulu, mesej tular tersebut turut mendakwa kumpulan berkenaan sedang merancang untuk melakukan serangan bom di gereja di Sibu. - AP/Fail
Mesej tular di media sosial yang mendakwa kumpulan Daesh telah memasuki Sarawak serta merancang membuat serangan bom gereja di Bintulu adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili menyifatkan mesej tular yang bersertakan wajah tiga lelaki yang didakwa anggota kumpulan tersebut dan sedang diburu oleh polis sebagai berita palsu.
"Keadaan keselamatan secara keseluruhannya adalah terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Selain Bintulu, mesej tular tersebut turut mendakwa kumpulan berkenaan sedang merancang untuk melakukan serangan bom di gereja di Sibu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dilaporkan oleh akhbar tempatan pada Rabu menafikan wujudnya rancangan serangan bom di gereja di Sibu dan berkata ketiga-tiga lelaki dalam mesej tular itu telah ditangkap polis. -- Bernama
#berita palsu #Bintulu #bom #Daesh #fact check #gereja #keselamatan #media sosial #polis #Semak Fakta #serangan #Sibu #Stanley Jonathan Ringgit #Zulkipli Suhaili
;