Polis nafi penglibatan KPN dalam skim pelaburan Amundi
Bernama
Januari 7, 2023 09:30 MYT
Januari 7, 2023 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan sebarang penglibatan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam skim pelaburan dikenali sebagai Amundi.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata satu laporan polis telah dibuat agar siasatan boleh dimulakan ke atas individu tidak bertanggungjawab yang menyamar dengan menggunakan nama Acryl Sani.
"Siasatan ke atas skim pelaburan berkenaan juga sedang dijalankan dan polis menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan skim penipuan pelaburan sebegini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorsiah memaklumkan PDRM baru-baru ini telah mengesan satu kumpulan di aplikasi WhatsApp yang mempromosikan satu pelaburan dan terdapat satu profil menyamar sebagai Acryl Sani.
"Individu terbabit yang menggunakan nombor telefon 010-2301160 mendakwa kononnya KPN turut menyertai skim pelaburan berkenaan," katanya.
-- BERNAMA