Polis nafi pelatih merusuh di Pulapol Langkawi
Bernama
November 30, 2019 05:25 MYT
November 30, 2019 05:25 MYT
Polis menafikan berlaku kejadian rusuhan melibatkan pelatih yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi, di sini, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
"Difahamkan memang ada kejadian pelatih tidak berpuas hati terhadap teguran kasar oleh seorang pengawal sentri yang menguatkuasakan larangan pelatih keluar dari berek hujung minggu.
"Cuma berlaku pertengkaran mulut namun tidak ada apa-apa kecederaan dan kerosakan. Kejadian tersebut juga tidak menyebabkan sebarang rusuhan berlaku," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Iqbal berkata beliau difahamkan berikutan kejadian itu komandan telah berjumpa dengan pelatih terlibat dan keadaan terkawal.
-- BERNAMA
#kecederaan
#Langkawi
#Mohd Iqbal Ibrahim
#pelatih
#pengawal sentri
#pentadbiran
#pertengkaran mulut
#PULAPOL
#Pusat Latihan Polis
#rusuhan
#teguran kasar
#tidak puas hati