Polis nafi paksa tahanan gig di Rumah Api tukar tuala wanita di khalayak ramai
Rahimah Abdullah
September 2, 2015 16:19 MYT
September 2, 2015 16:19 MYT
Polis Diraja Malaysia, PDRM menafikan dakwaan bahawa pihaknya memaksa tahanan menukar tuala wanita di khalayak ramai semasa melakukan serbuan ke atas pengunjung gig di Rumah Api, Ampang Jaya menjelang perhimpunan Bersih 4.0 baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, beliau kecewa dengan dakwaan itu yang dilihat berniat untuk memburukkan nama baik PDRM.
"Mana ada, saya sudah semak (dakwaan), tidak ada macam itu. Ada pula kita nak tengok orang tukar tuala wanita.
"Tuduhan ini sengaja dibuat untuk memburukkan kita. Jangan buat macam itu," katanya pada sidang media selepas perasmian Majlis Sambutan Peringatan Hari Pasukan Polis Marin ke-68 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, di Pelabuhan Klang hari ini.
Tegasnya, PDRM tidak akan melakukan tindakan berkenaan dan tuduhan berkenaan adalah melampau.
"Kita juga ada harga diri. Takkan kita nak suruh wanita tukar tuala wanita depan kita. Itu tuduhan melampau," jelas beliau lagi.
Khalid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan tahanan wanita yang dikatakan diarah polis untuk memakai tuala wanita di khalayak ramai.
Individu berkenaan adalah antara lebih 100 pengunjung yang ditahan polis dalam serbuan ke atas Gig di Rumah Api pada malam 29 Ogos lalu.