Polis nafi mesej tular culik kanak-kanak
Siti Nur Aqilla Omar
September 9, 2022 07:30 MYT
September 9, 2022 07:30 MYT
JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan mesej yang tular di aplikasi WhatsApp berhubung penculikan seorang kanak-kanak di sebuah pusat tuisyen di Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan yang dibuat mengesahkan mesej yang ditularkan itu adalah palsu.
Katanya, tiada sebarang laporan polis yang dibuat berkaitan kes culik tersebut.
"Siasatan lanjut yang dibuat pihak polis mendapati kanak-kanak tersebut berada di rumah bersama bapanya.
"Hal ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.
"Perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Polis Johor mengingatkan orang ramak agar tidak mudah percaya dan menyebarkan berita yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu melalui media sosial kerana ianya boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.