Polis nafi khabar angin pergaduhan kaum pada Hari Malaysia
Bernama
Julai 13, 2016 22:28 MYT
Julai 13, 2016 22:28 MYT
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan khabar angin kononnya keganasan kaum akan tercetus semasa sambutan Hari Malaysia pada September depan.
Sehubungan itu, PDRM memberi amaran bahawa mereka yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan perbuatan berbaur hasutan dan penggunaan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
"PDRM ingin menegaskan bahawa mesej itu tidak berasas dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan merosakkan keharmonian kaum dan menggugat ketenteraman awam," kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini.
Khabar angin itu, yang disebar melalui media sosial, turut meminta orang bukan Melayu supaya menyimpan bekalan makanan dan keperluan lain bagi menghadapi kejadian yang dikatakan akan berlaku pada 16 September itu.