Polis nafi kes rogol yang viral di WhatsApp
Radhi Muslim
April 4, 2019 17:42 MYT
April 4, 2019 17:42 MYT
Polis menafikan dakwaan kejadian rogol membabitkan seorang wanita tempatan dan lelaki warga Pakistan di kawasan Gum-Gum, Batu 16, Sandakan, yang viral melalui WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata, kejadian sebenar berlaku pada pukul 10 pagi Rabu.
"Ketika itu mereka datang ke Balai Polis Sandakan. Seorang wanita tempatan mendakwa diganggu seorang lelaki Pakistan dan lelaki itu pula mendakwa diserang ahli keluarga wanita terbabit.
"Hasil siastatan awal, lelaki Pakistan itu sering membeli epal di tempat wanita itu dan menjelingnya sejak sebulan lalu sehingga dia tidak selesa.
"Wanita itu menceritakan kepada keluarganya. Ahli keluarganya bertemu lelaki terbabit pada Rabu dan berlaku pertelingkahan mulut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Mohd Azhar, mereka kemudian pergi ke sebuah pejabat agensi kerajaan sebelum datang ke Balai Polis Sandakan.
"Kedua-duanya bersetuju selesaikan hal itu secara baik kerana tiada berlaku sebarang sentuhan.
"Tetapi, salah faham timbul apabila ada seorang pekerja daripada pejabat terbabit memviralkan gambar berkenaan," katanya.
Justeru katanya, pihak polis menafikan dakwaan kes rogol tersebut.
Terdahulu, dua gambar, dua pesanan suara dan satu video berdurasi empat saat viral melalui WhatsApp konon berlaku kes rogol pada petang Rabu.