Polis nafi kes culik murid di sekolah Felda Pasak
Sinar Harian
Mac 27, 2024 15:20 MYT
Mac 27, 2024 15:20 MYT
KOTA TINGGI: Polis menafikan seorang murid sekolah di Felda Pasak di sini diculik tiga lelaki pada Isnin seperti yang sedang tular ketika ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian tersebut tidak benar sama sekali selepas pihaknya menjalankan siasatan.
"Kejadian culik seperti didakwa dalam mesej yang tersebar dalam aplikasi WhatsApp sejak kelmarin tidak benar.
"Pihak polis ada menerima laporan pada Isnin lalu oleh ibu kanak-kanak berkenaan berhubung perkara itu.
"Hasil siasatan yang dijalankan didapati tiada sebarang kejadian culik yang dinyatakan di Felda tersebut," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu mesej tular itu mengingatkan kepada ibu bapa agar tidak lewat mengambil anak masing-masing.
Mesej tersebut juga meminta ibu bapa yang memiliki anak kecil agar berhati-hati kerana berlaku kejadian budak nyaris diculik di sekolah itu yang didakwa dilakukan tiga lelaki menaiki kereta. -Sinar Harian