Polis nafi keluarkan kompaun terhadap lelaki tidak pakai pelitup muka di depan rumah

Bernama
Disember 10, 2020 04:37 MYT
Polis berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun ke atas lelaki itu kerana berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis menafikan pihaknya telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap seorang warga emas kerana tidak memakai pelitup muka di hadapan rumahnya seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata lelaki berkenaan sebaliknya berada di kawasan awam, iaitu di sebuah taman permainan yang terletak tidak jauh daripada rumahnya ketika dikompaun Selasa lepas.
Dalam satu kenyataan di sini pada Khamis beliau berkata polis mengeluarkan kompaun ke atas lelaki berusia 65 tahun itu kerana berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka.
Terdahulu sebuah akhbar tempatan melaporkan seorang lelaki warga emas dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di hadapan rumah oleh anggota polis yang melakukan rondaan pada kira-kira pukul 11 pagi di Taman Eng Ann, Klang dekat sini.
-- BERNAMA
#pelitup muka #kompaun #tempat awam #taman permainan #rumah #warga emas #polis #Klang #Taman Eng Ann #rondaan #Nurulhuda Mohd Salleh
;