Polis nafi keluar notis amaran aktiviti jenayah guna kanak-kanak jalanan

Bernama
September 6, 2022 05:17 MYT
Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang mesej tidak berasas.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mesej kononnya pasukan keselamatan itu dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan notis amaran berhubung aktiviti jenayah yang menggunakan kanak-kanak jalanan, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A Skandaguru berkata mesej tersebut mendakwa, terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah mereka sebagai taktik, untuk meraih bantuan bagi dihantar pulang.
Menurutnya, mesej tersebut turut mendakwa individu yang membantu kanak-kanak itu akan dibunuh, organ dicuri dan dirogol.
"PDRM mengesahkan mesej yang ditularkan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan KDN atau PDRM.
"Semakan juga mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah seperti yang ditularkan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata orang ramai diingatkan untuk tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang mesej tidak berasas.
Skandaguru turut menasihatkan orang ramai yang berhadapan dengan situasi seperti mesej yang tular itu, untuk membawa kanak-kanak terbabit ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#PDRM #Semak Fakta #mesej tular #Kementerian Dalam Negeri
;