Polis nafi kejadian samun, serangan terhadap pasangan suami isteri di Bangi
Bernama
Februari 23, 2025 21:00 MYT
Februari 23, 2025 21:00 MYT
Polis menafikan dakwaan berlakunya kejadian samun dan serangan terhadap pasangan suami isteri bersama anak mereka di Bangi, seperti yang tular di media sosial.
KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan berlakunya kejadian samun dan serangan terhadap pasangan suami isteri bersama anak mereka di Bangi dekat sini, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya mendapati terdapat hantaran yang memaparkan laporan polis dan nota perbualan berhubung kejadian itu yang dikesan kira-kira 1 tengah hari tadi.
"Semakan telah dibuat dan mendapati tiada sebarang laporan kejadian seperti yang ditularkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Naazron berkata pihaknya menerima laporan pada 12.37 tengah malam semalam daripada seorang penghantar makanan yang mendakwa diserang dan nyaris disamun oleh empat lelaki yang menaiki kenderaan jenis Perodua Bezza.
Beliau berkata lelaki berusia 18 tahun itu yang menunggang motosikal melalui jalan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dari Bandar Seri Putra ke Teras Jernang telah ditahan suspek di tepi jalan.
"Pengadu yang merasakan dirinya akan disamun terus memecut motosikal dan ketika itu seorang suspek sempat memukul kepalanya, namun dia sempat melarikan diri. Tiada sebarang kerugian harta benda dalam kejadian ini, namun mangsa mengalami lebam di dahi akibat dipukul semasa kejadian," katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Insp Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474.
Terdahulu tular di laman sosial salinan laporan polis dan dakwaan berhubung berlaku kejadian samun serta serangan melibatkan sepasang suami isteri dan anak mereka oleh penjenayah yang memandu Perodua Bezza.
-- BERNAMA