Polis nafi gugur kalimah Allah, Muhammad pada logo PDRM
Afiezy Azaman
Mei 24, 2019 12:25 MYT
Mei 24, 2019 12:25 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan logo pasukan keselamatan itu diubah dengan menggugurkan kalimah Allah SWT dan Muhammad SAW.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad, pihaknya telah menetapkan dua garis panduan penggunaan logo pasukan yang berkuat kuasa pada tahun 2014 di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Logo PDRM dengan kalimah Allah dan Muhammad hanya boleh digunakan pada bendera, papan tanda atau bahan yang diletakkan di tempat tinggi.
"Logo yang tidak tertera kalimah Allah dan Muhammad pula diguna pakai dalam urusan percetakan (buku atur cara, notis, kenyataan) agar tidak tercemar kesucian kalimah-kalimah tersebut jika risalah berkenaan dijadikan pelapik duduk, dipijak dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Asmawati turut berharap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan dakwaan palsu mengenai isu logo berkenaan menghentikan tohmahan liar yang mampu membangkitkan kegusaran dan menjejaskan kredibiliti PDRM sebagai pasukan keselamatan di mata rakyat.
Baru-baru ini, tular di laman media sosial mengenai sebuah gambar yang mendakwa kononnya logo PDRM digugurkan kalimah Allah dan Muhammad di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
#Abdul Hamid Bador
#Asmawati Ahmad
#Kalimah Allah
#Ketua Polis Negara
#Khalid Abu Bakar
#logo PDRM
#PDRM
#Polis Diraja Malaysia