Polis nafi dakwaan kesan bengkak pada badan tahanan lokap maut di IPD Kuala Langat
Bernama
September 18, 2021 23:02 MYT
September 18, 2021 23:02 MYT
SEPANG: Polis Selangor menafikan terdapat kesan bengkak pada badan seorang tahanan yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Isnin lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dakwaan yang dibuat oleh isteri tahanan terbabit adalah tidak benar dan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
"(Dakwaan) itu tidak betul sebab kita dah tengok semua itu dan apapun pakar akan buat laporannya.
"Polis juga telah buka kertas siasatan. Apabila berlaku sesuatu perkara, siasatan terus dijalankan seperti mana Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal telah jelaskan. Itulah tumpuan siasatan kita," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota yang bertugas semasa kejadian tahanan terbabit meninggal dunia dalam lokap juga telah dipanggil untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan pemandu lori, T Vinaiyagar, 49, telah ditahan di Banting pada 8 Sept lepas dan isterinya, N Navaneetham, 35, mendakwa tidak menerima sebarang maklumat mengenai penahanan suaminya itu.
Hasil bedah siasat ke atas lelaki itu menyatakan punca kematiannya akibat ulser dalam perut, bagaimanapun, Navaneetham mendakwa melihat kesan bengkak pada badan suaminya.
Sementara itu, Arjunaidi berkata polis mengeluarkan 423 kompaun berkaitan kesalahan melanggar SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 10 Sept lepas hingga semalam.
Beliau berkata kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan sosial dan sebagainya.
Beliau berkata kira-kira 3,000 anggota dari 700 pasukan pemantauan telah ditugaskan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan sejak Lembah Klang beralih ke Fasa Dua PPN yang antaranya kebenaran rentas daerah membolehkan orang ramai melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.
Mengenai tinjauan hari ini, Arjunaidi berkata beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP orang ramai di Pantai Bagan Lalang yang menjadi satu daripada tempat tumpuan pengunjung.
-- BERNAMA