Polis nafi dakwaan gagal siasat kes dokumen palsu hak milik tanah di Kedah

Bernama
November 7, 2024 18:45 MYT
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataan hari ini menyifatkan dakwaan yang disebarkan melalui akaun TikTok 'Abuismailabuyaziz' itu adalah tidak benar dan berniat jahat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial mengenai kegagalan pasukan keselamatan dalam menjalankan siasatan kes pemalsuan dokumen hak milik tanah yang berlaku di Kedah, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataan hari ini menyifatkan dakwaan yang disebarkan melalui akaun TikTok 'Abuismailabuyaziz' itu adalah tidak benar dan berniat jahat.
Beliau menjelaskan satu laporan polis telah diterima pada 1 Nov 2021 di Kuala Kedah berhubung kes tersebut dan siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Katanya dokumen yang dipertikaikan dan sampel tandatangan pengadu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.
"Bagaimanapun, pihak Jabatan Kimia mengesahkan perbandingan tidak dapat dibuat memandangkan sampel yang dibekalkan oleh pengadu kes berkenaan tidak mencukupi selain pengadu juga gagal membekalkan sampel tandatangan tambahan yang diperlukan.
"Namun, pihak Jabatan Kimia mengesahkan perbandingan tidak dapat dibuat memandangkan sampel dibekalkan oleh pengadu kes berkenaan tidak mencukupi selain pengadu juga gagal membekalkan sampel tandatangan tambahan yang diperlukan.
"Kertas siasatan kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kedah dan memutuskan kes tiada tindakan lanjut (NFA) pada 20 April 2022," katanya.
Ramli turut memaklumkan polis menerima laporan baharu pada 15 Sept lalu berkenaan dakwaan wujudnya pemalsuan perintah mahkamah dan semakan daripada pihak mahkamah mendapati perintah mahkamah yang dipertikaikan itu adalah tulen.
"Ini bermakna dakwaan individu terbabit mengenai penghakiman palsu yang dinyatakan di akaun TikTok tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat. PDRM menyangkal tuduhan pemilik akaun TikTok tersebut bahawa tiada siasatan dijalankan ke atas laporan yang dibuat oleh pengadu," katanya.
Ramli menegaskan siasatan sewajarnya telah dijalankan mengikut undang-undang dan keputusan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara berdasarkan analisis dokumen serta dapatan siasatan.
"Hanya disebabkan keputusan tidak berpihak kepada pengadu, tidak wajar untuk melabelkan pihak penyiasat sebagai zalim dan jahat. Orang ramai yang menonton video tersebut dinasihatkan agar tidak membuat andaian berdasarkan fakta yang tidak tepat,"katanya.
Terdahulu, tular sebuah video mendakwa berlakunya pemalsuan membabitkan dokumen perintah mahkamah berkaitan urusan sewa tanah milik penduduk tempatan di Kuala Kedah.
-- BERNAMA
#polis nafi #Siasat #dokumen hak milik tanah #Kedah
;