Polis nafi bertindak kasar tahan wanita Indonesia
Bernama
Februari 21, 2021 22:33 MYT
Februari 21, 2021 22:33 MYT
BUTTERWORTH: Polis menafikan telah bertindak kasar termasuk sengaja menggari seorang wanita Indonesia yang bekerja di sebuah restoran di Jalan Raja Uda yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri ketika Ops Bersepadu Khas, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sejak semalam, tular di media sosial video berkenaan polis yang kononnya bertindak kasar terhadap wanita berusia 46 tahun itu namun sebenarnya semasa proses penahanan, mangsa telah bertindak agresif serta menjerit ke arah polis.
"Pada mulanya, suspek melarikan diri ketika serbuan dilakukan tapi berjaya ditahan oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan dibawa semula ke premis tempatnya bekerja namun suspek bertindak meronta-ronta termasuk membaling apron ke arah polis.
"Ketika diminta memberikan kerjasama, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri semula dengan merempuh polis serta penguat kuasa yang ada di situ. Sebab itu kami menggarinya tapi tidak berlaku sebarang kekerasan ke atas suspek sebaliknya semua mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya kepada Bernama hari ini.
Noorzainy berkata operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama MBSP, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di kawasan terbuka serta terdapat pelanggan di restoran tersebut semasa kejadian.
"Jadi adalah mustahil polis boleh bertindak kasar seperti didakwa oleh pihak yang memuat naik video semasa insiden terbabit," katanya.
Beliau berkata polis turut menahan empat lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 36 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri serta seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang juga majikan mereka, untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#polis
#nafi
#bertindak kasar
#wanita indonesia
#Jalan Raja Uda
#Ops Bersepadu Khas
#Polis Daerah Seberang Perai Utara