Polis nafi berlaku perhimpunan solidariti susulan rusuhan
Bernama
Mei 15, 2021 14:38 MYT
Mei 15, 2021 14:38 MYT
BATU PAHAT: Polis menafikan berlakunya perhimpunan solidariti susulan penahanan kumpulan anak muda yang melakukan rusuhan, membakar suar dan menaikkan kain rentang di Parit Raja, dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata pemantauan dan semakan pihaknya mendapati perhimpunan itu sebenarnya tidak berlaku seperti yang didakwa seorang pengguna Twitter "Zack Rockstar' yang memuat naik sebuah video berkaitan perhimpunan berkenaan.
"Semakan mendapati video tersebut dipercayai dirakam pada 13 Mei lepas antara 5 petang hingga 7 malam, sebelum tangkapan ke atas mereka yang disyaki terlibat," kata Ismail dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam kerana siasatan masih dijalankan.
Setakat semalam, polis memberitahu seramai 20 individu telah ditahan kerana dipercayai terbabit dalam insiden itu.
Rusuhan Batu Pahat | Polis tahan reman 20 penduduk setempat
Penahanan kesemua lelaki berusia 16 hingga 28 tahun tersebut susulan maklumat orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis 'Kerajaan Gagal' di sebuah jejantas di kawasan itu pada Khamis, selain sebuah video tular menunjukkan perhimpunan, nyalaan suar dan kejadian menaikkan kain rentang tanpa mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.
-- BERNAMA
#perhimpunan solidariti
#bakar suar
#kain rentang berunsur provokasi
#Batu Pahat
#Twitter
#Zack Rockstar
#COVID-19