Polis nafi anggota bertugas tampar penunggang motor
Sinar Harian
Januari 10, 2022 05:36 MYT
Januari 10, 2022 05:36 MYT
TANJUNG MALIM: Polis menafikan dakwaan bahawa seorang anggotanya bertindak menampar penunggang motosikal sepertimana rakaman video yang tular di media sosial pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian seperti dirakam video itu berlaku pada 8 Januari lepas sekitar jam 2.30 petang semasa pasukan penguatkuasaan trafik menjalankan tugas rondaan dan snap check di Kilometer 100 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini.
Menurutnya, semasa penugasan itu, anggota telah menahan sebuah motosikal yang ditunggangi dua lelaki yang melarikan diri dari pemeriksaan polis.
"Anggota trafik telah memberi peringatan serta amaran kepada penunggang motosikal tersebut. Tindakan saman juga telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen.
"Polis menafikan ada menampar atau melakukan sebarang kekerasan terhadap penunggang berkenaan seperti dinyatakan oleh pemilik akaun tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, polis mengesan rakaman video berdurasi 26 saat yang dimuat naik di media sosial Tik Tok itu tular pada Isnin sekitar jam 12 tengah hari menyatakan anggota trafik yang sedang bertugas telah menampar penunggang motosikal.
Katanya, susulan penularan video itu, polis telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun terbabit di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin dan fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti pasukan polis," katanya.
ARTIKEL ASAL DI SINAR HARIAN