Polis nafi ada tembakan di Kg Kembara Sakti

Haider Yutim
Mac 22, 2013 04:32 MYT
Polis masih menyiasat kejadian yang berlaku di Kampung Kembara Sakti malam tadi bagi memastikan samada ia ada kaitan dengan pengganas atau tidak.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Lian dalam satu sidang mengesahkan kejadian tersebut, namun menafikan adanya tembak-menembak.
“Rumah terbakar... kami syak (ia terjadi) di atas satu kecuaian ...kejadian kecuaian ...syak sahaja. Kami masih menyiasat,” kata beliau.
Katanya sehingga hari ni polis masih tidak dapat mengesahkan samada kejadian itu ada kaitan atau tidak dengan kegiatan pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
“Tiada petunjuk setakat ini, tiada hubung kait...... Kami ragu dengan kejadian ini. Kami sedang menyiasat,” kata Tan lagi.
Selain itu beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya telah pun meletakkan beberapa anggota keselamatan di kawasan itu bagi meyakinkan penduduk tentang keselamatan di situ.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya jangan mendengar kabar angin dan menasihati mereka supaya tidak terlalu takut kerana keadaan masih selamat dan terkawal.
Sementara itu, Tan juga memaklumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membuat penilaian kerosakan bagi menganggarkan jumlah kerugian yang dialami mangsa bagi tujuan memberikan bantuan.
Penilaian tersebut dilakukan bersama pegawai pejabat daerah.
Ia bagi mengetahui samada pampasan boleh diberi kepada orang-orang yang menjadi mangsa.
Bagi perkembangan di Lahad Datu pula, Tan memberitahu keadaan kawasan operasi masih lagi terkawal dan selamat.
Dalam sidang media tersebut, polis juga mengesahkan bahawa tiada laporan anggota keselamatan yang terkorban dalam tempoh 24 jam ini.
Ops Daulat telah memasuki hari ke-18 jumlah tangkapan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kekal 108, termasuk lapan yang baru dituduh di Mahkamah Tinggi Tawau semalam.
Mereka yang ditahan di bawah kes-kes lain pula adalah seramai 285 orang.
Jumlah mayat pengganas yang dikeluarkan pula adalah seramai 30 orang dan jumlah pengganas yang ditembak mati masih 63 orang.
Anggota keselamatan negara yang terkorban pula masih 10 orang, manakala 10 cedera parah.
#ceroboh #Filipina #Kg Kembara Sakti #Lahad Datu #Sabah #serangan #Sulu