Polis nafi 10 kematian akibat magic mushroom di Kuala Selangor

Bernama
Mac 25, 2024 00:15 MYT
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata dakwaan tidak berasas itu berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat jika terus disebarkan dengan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya. - Gambar fail/PDRM
SHAH ALAM: Polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kematian 10 remaja lelaki akibat menghisap rokok elektronik atau vape jenis 'magic mushroom' seperti dakwaan yang tular menerusi media sosial pada masa ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata dakwaan tidak berasas itu berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat jika terus disebarkan dengan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya.
"Polis dengan tegas menyangkal dakwaan berkenaan dan ia adalah tidak benar.
"Pengguna media sosial diingatkan agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform itu untuk menyebar kandungan tidak sahih sehingga mengakibatkan kegusaran awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli turut menasihati masyarakat supaya bersama-sama memantau serta mengambil berat berkaitan tabiat menghisap rokok elektronik dalam kalangan remaja dan belia supaya tidak terjerumus dalam aktiviti yang membahayakan kesihatan.
Pada Sabtu lepas, tular satu video memaparkan temu bual antara dua individu menerusi akaun TikTok mendakwa kematian seorang remaja lelaki akibat magic mushroom dan kematian itu didakwa yang ke-10 dalam daerah Kuala Selangor.
-- BERNAMA
#magic mushroom #nafi #kematian #polis #vape
;