Polis musnahkan bom mortar di Tampin

Bernama
Oktober 11, 2024 21:05 MYT
Sebutir bom lama ditemui di kilang Heveaboard, Industrial Park, Batu 3, Gemas Tampin telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Sebutir bom lama ditemui di kilang Heveaboard, Industrial Park, Batu 3, Gemas Tampin di sini telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata pihaknya menerima laporan pada 8.09 pagi tadi mengenai penemuan objek menyerupai bom di kilang berkenaan.
Beliau berkata bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin pergi ke lokasi kejadian dan mendapati ada objek berkenaan lalu memasang tali rintangan polis sebagai kawasan larangan dan bahaya sebelum memaklumkan kepada UPB, IPK negeri.
"Siasatan awal mendapati UXO (unexploded ordnance) adalah jenis mortar 60 milimeter dan panjangnya berukuran 35 sentimeter.
"Tindakan pemusnahan dilakukan kira-kira 11.45 pagi tadi oleh UPB, IPK negeri dan IPD Tampin. Tempat kejadian itu merupakan bahagian proses pengasingan kayu kilang Heveaboard," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kerja memusnahkan bom itu dilakukan tanpa sebarang kecederaan, kerosakan harta benda mahu pun kehilangan nyawa.
-- BERNAMA
#polis #musnahkan bom mortar #Tampin #Heveaboard Industrial Park
;