Polis mula siasatan kes buli babitkan anak Tam Spider, Khir Rahman

Bernama
Oktober 9, 2024 18:00 MYT
Polis melancarkan siasatan terhadap kes buli melibatkan anak seorang penyanyi dan beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama di ibu negara.
KUALA LUMPUR: Polis melancarkan siasatan berhubung kes buli anak kepada seorang penyanyi serta beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama di ibu negara berikutan 12 laporan diterima daripada pihak yang prihatin.

Ringkasan AI
  • Polis lancar siasatan terhadap kes buli melibatkan anak seorang penyanyi dan beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama di ibu negara.
  • Tiga kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Beberapa suspek, termasuk pelajar Tingkatan Lima dan warden sekolah, telah dikenal pasti.
  • Mangsa berusia antara 14 hingga 16 tahun mengalami kecederaan seperti lebam pada tangan dan telinga.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Daripada tiga kertas siasatan yang dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, dua telah dikembalikan untuk dikemas kini," katanya pada majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.
Susulan majlis itu, bekas Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh Sarban Singh akan menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti yang baharu manakala ACP Aidil Bolhassan mengambil alih tugas Ketua Polis Daerah Cheras berkuat kuasa hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kes itu, Rusdi mengesahkan beberapa suspek telah dikenal pasti iaitu kesemuanya pelajar Tingkatan Lima serta warden sekolah dan kenyataan warden telah pun diambil.
Beliau berkata, mangsa yang berusia antara 14 hingga 16 tahun dilaporkan mengalami kecederaan, termasuk lebam pada tangan dan telinga.
"Kita jangka akan dapat ambil keterangan daripada suspek (pelajar) pada hujung minggu ini atas permintaan pihak sekolah yang mohon diberikan ruang untuk anak-anak itu jalani peperiksaan percubaan SPM dahulu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rusdi berkata polis akan memanggil wakil daripada Bloomberg untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Setakat ini kita telah ambil keterangan daripada dua pihak iaitu MACC dan bekas Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil. Beberapa individu lain juga akan dipanggil, khususnya daripada Bloomberg dalam masa terdekat," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penyanyi kumpulan Spider, Tam atau nama sebenar Rustam Mustafah yang mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli.
Selain Tam beberapa ibu bapa lain termasuk pelakon, Khir Rahman turut tampil mendedahkan perkara sama dan mendesak pihak sekolah mengambil tindakan terhadap pembuli terbabit.
-- BERNAMA
#buli #pelajar tingkatan lima #Seksyen 323 Kanun Keseksaan #anak Khir Rahman dan Tam Spider
;