Polis mohon saksi nahas Hilux, Viva di Keramat Pulai tampil bantu siasatan

Abd Razak Mohd Ali
Julai 9, 2022 06:00 MYT
Polis memohon orang ramai yang menyaksikan nahas melibatkan kenderaan pacuan empat roda (4x4) dengan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Keramat Pulai pada Khamis, tampil untuk membantu siasatan. -Facebook
IPOH: Polis memohon orang ramai yang menyaksikan nahas melibatkan kenderaan pacuan empat roda (4x4) dengan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Keramat Pulai pada Khamis, tampil untuk membantu siasatan.
Kemalangan yang tular di media sosial itu memaparkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, nahas berlaku ketika kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun bersama isteri dan bayinya itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Cameron Highlands.
Ia kemudian telah bertembung dengan 4x4 dipandu lelaki berusia 51 tahun yang datang dari arah bertentangan.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki tiga beranak, termasuk bayi lelaki berusia enam bulan itu menggelongsor ke belakang dan masuk ke dalam longkang di kiri jalan.
"Pemandu kereta mengalami luka di tangan dan pinggang, manakala dua penumpang mengalami kecederaan luka di kepala dan tangan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda turut mengalami kecederaan di dada,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Yahaya, kesemua mereka telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dibenarkan pulang.
Katanya, polis telah menerima laporan mengenai kemalangan itu pada Jumaat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Norhanim Nordin di talian 013-5882479 untuk membantu siasatan.
#Jalan Keramat Pulai #Hilux rempuh Axia #Cameron Highlands #Yahaya Hassan
;