Polis mohon bantuan kesan Swee Seh Wah
Bernama
Februari 4, 2025 18:05 MYT
Februari 4, 2025 18:05 MYT
IPOH: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Taman Singa Baru, Sitiawan sejak 31 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata kehilangan Swee Seh Wah, 68, dilaporkan anak lelakinya yang berusia 26 tahun pada 2 Feb.
"Orang Hilang (OH) dianggarkan berketinggian 170 sentimeter, berbadan gempal (99 kilogram), rambut pendek beruban, berkulit putih dan memakai baju belang berwarna serta seluar pendek warna biru.
"OH dilaporkan telah keluar pada malam 31 Jan dengan menaiki motosikal jenis Honda C70 dengan nombor pendaftaran PBK 2027," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Swee menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menerusi talian 05-6886222 atau pegawai penyiasat Sarjan Mejar Noor Hishamuddin Md Isa 019-3664181.
-- BERNAMA