Polis mohon bantuan kesan Dhiya Azzahra

Sinar Harian
Disember 8, 2024 17:00 MYT
Polis mengesan Dhiya Azzahra yang dilaporkan hilang pada Sabtu.
SUNGAI BULOH: Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang sejak keluar dari sebuah rumah di Seksyen U3, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan sebelum itu dibuat bapa kanak-kanak terbabit kira-kira jam 7.40 petang.
"Kanak-kanak ini dikenali sebagai Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi berumur 12 tahun.
"Kanak-kanak ini berketinggian 150 sentimeter, berat 45 kilogram dan berkulit sawo matang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, kanak-kanak ini dilihat kali terakhir memakai seluar jeans baggie dan bertudung berwarna hitam, berbaju sejuk dan berkasut sukan warna-warni.
"Menerusi laporan dibuat, kanak-kanak ini dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Sabtu kira-kira jam 9 pagi.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kanak-kanak ini diminta segera menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
Menurutnya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Hizam Talib di talian 012-6550262. - Sinar Harian
#kanak-kanak hilang #Dhiya Azzahra #laporan polis #Sungai Buloh
;