Polis mohon baju kalis peluru baharu untuk PGA, Marin - Bukit Aman

Bernama
Disember 7, 2020 21:11 MYT
Kelengkapan itu diperlukan kerana mereka bukan sekadar terlibat dalam pelbagai operasi seperti Ops Benteng, tetapi turut mengawal sempadan negara yang lebih berisiko tinggi. -Gambar fail
KLUANG: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Polis Diraja Malaysia sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi menggantikan baju kalis peluru milik jabatan itu yang kini sudah berusia lebih 10 tahun.
Pengarahnya Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata ketika ini terdapat kira-kira 12,000 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang memerlukan kelengkapan berkenaan.
Beliau berkata kelengkapan itu diperlukan kerana mereka bukan sekadar terlibat dalam pelbagai operasi seperti Ops Benteng, tetapi turut mengawal sempadan negara yang lebih berisiko tinggi.
"Kita akan bincang dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan, dijangka hujung bulan ini kita akan dapatkan harga untuk baju kalis peluru berkenaan, ia turut melibatkan kelengkapan lain seperti teropong penglihatan malam serta beberapa kenderaan untuk melancarkan operasi membanteras jenayah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Mes Pegawai Kanan Batalion 5 PGA di Simpang Renggam di sini, hari ini, dan turut hadir ialah Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA), Datuk Kasuahdi Ali; Komander Briged Tengah PGA, SAC Muhammad Abdul Halim serta Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Supt Dimin Awang.
Sementara itu, Abd Rahim berkata dalam tempoh awal tahun hingga 3 Dis lepas, PGA Briged Tengah telah berjaya melakukan 157 serbuan, menahan 511 orang dan merampas pelbagai jenis barangan bernilai RM32.8 juta.
"Semua serbuan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan 1984/89, Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Akta Perikanan 1985 dan Akta SPRM.
"Kami juga berharap orang ramai dapat membantu polis dalam menghulurkan sebarang maklumat terutamanya berkaitan dengan pencerobohan bagi memastikan negara tidak dicerobohi mana-mana elemen melibatkan aktiviti penyeludupan," katanya.
-- BERNAMA
#JKDNKA #Polis Diraja Malaysia #PDRM #peruntukan #kalis peluru #Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar #PGA #Marin
;