Polis minta saksi tampil bantu siasatan kes pemandu samseng
Sinar Harian
Januari 26, 2022 06:00 MYT
Januari 26, 2022 06:00 MYT
SHAH ALAM: Polis belum menerima laporan berkaitan video tular melibatkan seorang lelaki yang berlagak samseng di Jalan Setia Gemilang U13/45B di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya mengesan satu video tular melibatkan kejadian yang dimuat naik seorang pengguna Twitter.
"Kejadian tersebut didakwa berlaku di Jalan Setia Gemilang U13/45B Shah Alam, berhadapan Apartment Seri Mutiara yang menunjukkan tindakan pemandu kereta yang berlagak samseng dengan menghalang laluan kereta mangsa.
"Hasil semakan pihak polis mendapati sehingga kini tiada sebarang laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diharap tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat dijalankan.
Pada Isnin,video pemandu kereta berlagak samseng yang sebelum itu bertindak memotong barisan berhampiran persimpangan lampu isyarat tular di Twitter.
Kejadian yang didakwa berlaku di Jalan Setia Gemilang U13/45B Shah Alam, berhadapan Apartment Seri Mutiara, di sini menunjukkan pemandu kereta terbabit mengejar kereta dan menghalang laluan kereta mangsa.
*Berita asal di Sinar Harian