Polis minta saksi kes tembak di Setapak tampil beri maklumat
Bernama
Ogos 1, 2016 07:14 MYT
Ogos 1, 2016 07:14 MYT
Pihak polis meminta saksi yang melihat kejadian tembakan membabitkan mangsa pemberi pinjaman wang berusia 43 tahun yang maut ditembak di persimpangan lampu isyarat di Setapak Rabu lepas, agar tampil menyalurkan maklumat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan sedang berjalan dan polis memerlukan lebih banyak maklumat untuk membantu siasatan.
"Kami menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes ini agar tampil membantu kami," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Dalam kejadian itu, V. Kandasamy, yang memandu kereta Honda Accord, mati di tempat kejadian selepas ditembak bertubi-tubi, dari jarak dekat oleh dua suspek semasa berhenti di lampu isyarat.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata satu pasukan khas ditubuhkan untuk memburu suspek.