Polis minta bantuan kesan remaja perempuan hilang selepas beli air
Aida Aziz
September 13, 2022 21:35 MYT
September 13, 2022 21:35 MYT
IPOH: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dari Tambun di sini yang dilaporkan hilang, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, Nur Hidayah Mat Nurddin yang beralamat di Lot 475, Kampung Tersusun Batu 5, Lorong Delima 3/2, Tambun, dilapor hilang oleh keluarganya pada 21 Ogos.
Katanya, kali terakhir remaja itu dilihat ialah di rumahnya pada 19 Ogos, sebelum keluar untuk membeli minuman di kedai.
"Remaja ini tinggal bersama keluarga termasuk neneknya di Tambun. Menurut neneknya, cucunya itu memberitahu mahu keluar membeli air dan kemudian tidak pulang sampai sekarang.
"Dia dilaporkan keluar seorang diri ketika itu. Ahli keluarganya cuba menghubunginya, namun didapati nombor telefonnya sudah tidak aktif," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, orang ramai yang menjumpai atau mempunyai sebarang maklumat mengenai remaja itu diminta melaporkannya kepada polis.
Mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Haizal Umar di talian 05-2451628/011-21001076 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500.