Polis Melaka tumpas sindiket pemerdagangan bayi

Shuhada Abdul Kadir
Disember 20, 2021 12:43 MYT
Kesemua suspek kini direman sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan. - Astro AWANI
MELAKA TENGAH: Sebuah sindiket pemerdagangan bayi yang melakukan transaksi penjualan secara terang-terangan di laman sosial Instagram dengan harga RM12,000 setiap bayi, berjaya ditumpaskan polis Melaka.
Sindiket yang didalangi wanita tempatan berusia 33 tahun itu bergerak aktif sejak Mac tahun lalu dengan menyasarkan gadis dan wanita yang sedang hamil anak luar nikah sebelum mencari keluarga angkat yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan zuriat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, seramai 14 ahli sindiket yang dikenali ‘Geng Nana’ termasuk empat warga Indonesia ditahan sebelum tiga bayi berusia tiga hingga tujuh bulan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diselamatkan.
Jelasnya, sepasang suami isteri berusia 40-an yang dipercayai sebagai pembeli bayi berusia tiga bulan, turut ditahan menerusi Op Pintas Nana yang dilaksanakan sejak 30 November lalu.
“Sindiket ini cukup terancang yang mana modus operandi yang digunakan ialah menerusi medium laman Instagram dan mereka akan menghubungi keluarga yang tidak mempunyai anak untuk mendapatkan anak angkat.
“Mereka juga ada yang memainkan peranan dalam mengenalpasti wanita yang sedang hamil luar nikah dan selepas wanita-wanita itu bersetuju, mereka akan dibawa ke sebuah inap desa, dijaga sehingga melahirkan dan semua kos itu ditanggung oleh sindiket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka tengah pada Isnin.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya sedang mengesan tiga lagi bayi yang telah dijual kepada keluarga angkat serta seorang wanita berusia 27 tahun yang bertindak sebagai bidan tidak bertauliah dalam menyambut semua kelahiran wanita hamil yang ‘kononnya’ dijaga itu.
“Kita juga percaya sindiket ini ada seorang lagi wanita hamil yang sedang menunggu tempoh bersalin untuk menyerahkan juga anaknya kepada mereka dan ini juga kita akan cari.
“Daripada tujuh kes yang telah dikesan sebelum ini, semua kelahiran berkenaan disambut oleh seorang wanita yang masih bebas dengan bayaran upah Rm1,000 setiap bayi dan wanita-wanita hamil yang terlibat juga berusia hanya lingkungan 20-an,” tambahnya.
Katanya kesemua suspek kini direman sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan migran 2007.
#sindiket #bayi #wanita hamil #anak luar nikah
;