Polis Melaka tahan lelaki jual senapang angin
Bernama
Januari 6, 2022 07:32 MYT
Januari 6, 2022 07:32 MYT
MELAKA: Polis menahan seorang pemandu kren yang disyaki terlibat dengan aktiviti penjualan senjata tiruan dalam Op Laras di Kuala Sungai Baru pada Selasa lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Ali Abdul Majid berkata suspek berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.15 tengah hari hasil risikan pihak polis.
"Suspek itu dipercayai aktif dengan kegiatan menjual senjata tiruan itu sejak dua tahun lepas malah didapati melakukan kesalahan sama berulang kali sejak tahun 2001 selain memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan senjata api.
"Hasil pemeriksaan di rumahnya polis juga menemukan tujuh laras senapang angin yang menyerupai senjata sebenar, beberapa komponen senapang angin serta peluru 'ball bearing' (alas bebola)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Mohd Ali berkata senapang angin itu dijual dalam bentuk komponen dengan menggunakan khidmat penghantaran kurier sebelum suspek menghantar video melalui aplikasi WhatsApp untuk mengajar cara-cara pemasangan senjata kepada pelanggannya.
Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati suspek mendapatkan bekalan dari negara jiran menggunakan laluan air dan dipercayai membeli komponen senapang angin itu secara berperingkat.
"Suspek juga telah menjual empat laras senapang angin dengan harga RM3,500 setiap satu kepada pelanggan dari negeri lain menerusi kenalan rapatnya dan pihak polis akan mengenal pasti pembeli terbabit untuk tindakan lanjut.
"Hasil soal siasat juga suspek mendakwa senjata tiruan itu digunakan untuk memburu namun uji kaji tembakan yang dijalankan Bahagian Persenjataan IPK Melaka mendapati peluru alas bebola yang dirampas itu boleh mendatangkan kecederaan serius jika disalahgunakan," katanya.
Katanya suspek direman selama lima hari bermula tarikh ditahan sehingga 8 Jan ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA