Polis Melaka galak penduduk daftar VSP

Bernama
Mac 12, 2025 04:15 MYT
Dzulkhairi semasa menghadiri Kempen Keselamatan dan Pengedaran Bubur Lambuk Sempena Bulan Ramadan, yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB,Shadan Othman, pada Rabu. - Gambar Bernama
MELAKA: Polis Melaka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menggalakkan lebih ramai penduduk negeri ini mendaftar dalam aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Muktar berkata, sehingga kini sebanyak 49,487 pendaftaran telah direkodkan menerusi aplikasi berkenaan, namun jumlah itu masih dianggap kurang memberangsangkan.
"Kami akan mempergiatkan usaha ini menerusi kempen 'Rumah Selamat' sempena musim perayaan Aidilfitri bagi membolehkan orang ramai menggunakan aplikasi tersebut untuk memaklumkan kepada polis mengenai ketiadaan mereka di rumah ketika pulang beraya di kampung halaman masing-masing.
"Aplikasi VSP ini mesra pengguna dan memudahkan orang ramai berhubung dengan polis menerusi telefon pintar mereka," katanya kepada pemberita di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kempen Keselamatan dan Pengedaran Bubur Lambuk Sempena Bulan Ramadan, yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, kempen Rumah Selamat menggalakkan orang ramai untuk mendaftar dan menggunakan aplikasi VSP bagi mendapatkan khidmat bantuan polis melakukan rondaan di kawasan kediaman mereka.
"Kami juga menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan pergerakan pulang ke kampung kepada polis melalui aplikasi VSP atau dengan mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkhairi memaklumkan bahawa setakat ini lebih 200 permit atau lesen telah dikeluarkan kepada peniaga bagi aktiviti penjualan bunga api dan mercun di negeri ini.
"Permit ini diluluskan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) selepas permohonan diterima, dan ia hanya diberikan kepada peniaga yang mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
"Penjualan bunga api dan mercun berlesen dibenarkan bermula 20 hari sebelum Aidilfitri dan 10 hari selepas perayaan," katanya.
-- BERNAMA
#musim perayaan #telefon pintar #Aidilfitri #pbt
;