Polis maut dipukul: Lima lelaki ditahan

Sinar Harian
Mac 24, 2024 15:15 MYT
Omar berkata, suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan pada hari sama di sekitar daerah ini dan usaha mengesan beberapa individu lagi sedang dijalankan. - Gambar fail
KAJANG: Seramai lima lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes memukul anggota polis sehingga maut di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan pada hari sama di sekitar daerah ini dan usaha mengesan beberapa individu lagi sedang dijalankan.
“Hasil bedah siasat yang selesai petang semalam mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di kepala akibat hentakan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang anggota polis maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di sini.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi, anggota berpangkat koperal berusia 34 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di lokasi.
Hussein dilaporkan berkata, mangsa adalah anggota polis yang masih berkhidmat di Kontinjen Kuala Lumpur. - Sinar Harian
#polis maut dipukul #identiti mangsa #identiti suspek #motif kejadian
;