Polis masih siasat kematian model Belanda, Ivana Smit - SFC
Bernama
Oktober 13, 2022 18:03 MYT
Oktober 13, 2022 18:03 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa polis masih menjalankan siasatan terhadap kematian model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, di sebuah kondominium di Persiaran Caossquare, di sini, lima tahun lalu.
Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Norfauzani Mohd Nordin, mewakili pihak defendan, berkata masih ada beberapa perkara yang perlu dilakukan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
Beliau berkata demikian semasa pendengaran permohonan ibu mendiang Ivana Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, selaku plaintif, untuk meminda pernyataan tuntutan saman dikemukakan terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam saman tersebut, ibu model berkenaan mendakwa pihak defendan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
"Daripada pemeriksaan kami terhadap pegawai penyiasat, masih ada beberapa perkara yang perlu dilakukan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut," katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain.
Ditanya Roz Mawar adakah defendan kedua (pegawai penyiasat) masih bertugas, Norfauzani berkata pegawai tersebut yang merupakan seorang daripada ahli kumpulan siasatan kes itu masih bertugas.
Terdahulu, Norfauzani membantah permohonan plaintif untuk meminda pernyataan tuntutan saman itu kerana siasatan kes masih dijalankan dan permohonan itu bersifat pramatang.
Sementara itu, peguam Datuk S.N. Nair, mewakili Verstappen, berkata pihaknya dan keluarga mangsa tidak dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan kematian model berkenaan.
Mengenai permohonan untuk meminda pernyataan tuntutan saman, Nair berkata ia perlu dipinda bagi membolehkan pihaknya membentangkan kes itu dengan lebih jelas dan tepat.
Katanya, plaintif membuat pindaan ringkas terhadap struktur penulisan bagi menjadikan tuntutan saman itu lebih khusus dan menumpu kepada fakta serta isu yang mencerminkan hasrat plaintif yang sebenar selain permohonan itu hanya melibatkan pindaan kepada fakta-fakta kes yang tidak dipertikaikan oleh pihak defendan.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Roz Mawar menetapkan 4 Nov ini untuk keputusan permohonan pindaan pernyataan tuntutan itu dan tarikh sama ditetapkan untuk mendengar permohonan kesemua defendan bagi membatalkan saman tersebut.
Dalam penyataan tuntutan difailkan oleh Verstappen, 57, 20 Nov 2020, plaintif mendakwa anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Dis 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Sebelum itu, pada 22 Nov 2019,Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan semakan plaintif bagi membatalkan keputusan Mahkamah Koroner yang mengklasifikasikan kematiannya disebabkan oleh nahas.
Pada 21 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu atas alasan penyataan tuntutan tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Verstappen berhubung keputusan yang membatalkan samannya.
-- BERNAMA