Polis masih siasat identiti sebenar 'Kim Chol'
Bernama
Februari 15, 2017 14:08 MYT
Februari 15, 2017 14:08 MYT
Polis masih menyiasat identiti sebenar lelaki warga Korea Utara, Kim Chol yang mati di negara ini semalam yang dilaporkan sebagai abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya juga masih menyiasat sama ada dokumen perjalanan yang digunakan Kim Chol, 47, dokumen yang sebenar ataupun palsu.
"Setakat yang kami dapat sahkan lelaki warga Korea itu dikenali sebagai Kim Chol berdasarkan dokumen perjalanan mangsa, namun kita masih siasat dokumennya (pasport) sama ada betul atau palsu.
"Saya menasihatkan pihak media jangan membuat sebarang andaian dan apa-apa perkembangan mengenai perkara ini kami akan maklumkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya semalam berkata lelaki Korea Utara yang cuba mendapatkan bantuan perubatan awal di kaunter khidmat pelanggan KLIA2 semalam dikenali sebagai Kim Chol dengan pasport bernombor 836410070 dan dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970.