Polis marin tingkat kawalan keselamatan di perairan negara
Bernama
Oktober 18, 2016 07:12 MYT
Oktober 18, 2016 07:12 MYT
Pasukan Polis Marin (PPM) meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa laluan perairan negara, yang dipercayai digunakan kumpulan militan Daish untuk masuk ke negara ini.
Komander PPM Datuk Abdul Rahim Abdullah berkata PPM telah mengenal pasti beberapa laluan kumpulan itu dan sentiasa dalam keadaan bersiap siaga dengan mengambil langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan di pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara.
Selain itu, PPM meningkatkan kerjasama dengan unit polis dan agensi lain bagi membendung penularan pengaruh Daish di negara ini, katanya kepada pemberita selepas Program Mesyuarat dan Latihan Bersama PPM dan Polis Pengawal Pantai Singapura (PPPS) di Pengkalan Polis Marin Batu Uban di sini, Selasa.
Turut Hadir Komander PPPS SAC Hsu Sin Yun. Program itu, yang disertai 128 pegawai dan anggota dari kedua-dua pasukan, bermula 15 Okt lepas dan tamat Sabtu ini.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata PPM dan PPPS akan terus meningkatkan kerjasama terutamanya dalam menangani beberapa isu termasuk cabaran dan ancaman keselamatan maritim khususnya yang melibatkan pemerdagangan orang di kedua-dua perairan negara.
Selain itu, kedua-dua pasukan turut menubuhkan unit khas bagi menjalinkan kerjasama dalam meningkatkan lagi keupayaan menangani isu-isu jenayah berkaitan pengganas.
"Fokus kami adalah di selatan Selat Melaka khususnya Johor barat dan Johor timur kerana kawasan itu merupakan laluan penjenayah terutamanya yang melibatkan pemerdagangan manusia di Pengerang (Johor).
"Tahun ini sahaja, sebanyak 45 kes itu direkodkan di kawasan tersebut," katanya. - Bernama