Polis Marin Tawau tahan lelaki tempatan cuba seludup barang kawalan ke Indonesia

Petrus Bernard
Mei 16, 2020 09:57 MYT
Juragan bot laju yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah untuk menjalankan perniagaan runcit dan penghantaran barang eksport/import tong gas. - Foto Polis Marin
Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau pada Jumaat berjaya membanteras kes pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961 di Laut Batu Tiga.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohammad Pajeri Ali berkata, sebuah bot laju yang mencurigakan telah ditahan dan diperiksa pada lebih kurang jam 9.45 pagi.
Ketika itu, pihaknya sedang menjalankan rondaan tugas Ops Benteng COVID-19, melibatkan seramai enam anggota, di perairan Tawau.
Semasa pemeriksaan, pihaknya telah menahan seorang juragan lelaki warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 33 tahun dan mendapati terdapat enam tong gas yang disembunyikan di dalam bot tersebut.
Ia disyaki untuk tujuan seludup ke negara jiran, Indonesia.
Menurut Mohammad Pajeri, juragan gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen yang sah untuk menjalankan perniagaan runcit dan penghantaran barang eksport/import tong gas.
Kesemua nilai rampasan termasuk tong gas, enjin Yamaha dan bot dianggarkan bernilai RM21,080.
Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut.
#barang kawalan #bot laju #dokumen #eksport #import #Indonesia #juragan #lesen #Mohammad Pajeri Ali #Ops Benteng Covid-19 #rondaan #Sabah #seludup #Tawau #tong gas
;