Polis Marin rampas rokok seludup, tahan lelaki cuba rasuah anggota PPM
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 26, 2021 00:42 MYT
Mac 26, 2021 00:42 MYT
GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penjualan dan penyimpanan rokok seludup selepas menahan dua individu lelaki dan wanita.
Dalam serbuan di stor dalam kawasan kebun koko di Kampung Jawi Sungai Jawi, Nibong Tebal itu, salah seorang suspek turut menawarkan sogokan RM10, 000 kepada pasukan serbuan PPM.
Sogokan itu sebagai balasan supaya pihak PPM tidak menahannya kerana memiliki rokok tanpa cukai.
Komander PPM wilayah satu, ACP Rosman Ismail berkata, dalam 'Op Kontraband' itu pihaknya merampas 1,940 karton rokok tanpa cukai bernilai RM264,750 yang dipercayai disimpan lelaki tempatan berusia 40 tahun itu.
"Pada jam 7.30 petang pasukan Polis Marin telah buat serbuan di kawasan kebun koko, hasil pemeriksaan telah menjumpai beberapa kotak dan guni pelbagai jenis rokok.
"Setelah 30 minit kita buat pemeriksaan di kawasan tersebut, tiba-tiba muncul seorang lelaki cina dan mengaku sebagai pemilik stor tersebut. Pegawai menahan lelaki tersebut atas sebab memiliki dan menyimpan rokok tanpa cukai
"Lelaki itu telah cuba menyongok dengan duit RM10,000ribu... beberapa kali tawaran telah dibuat sebagai usaha menyogok pegawai kita, ekoran itu lelaki itu ditahan kerana cuba beri rasuah kepada anggota polis," katanya kepada pemberita.
Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 40 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan dan PPM turut menyita sebuah kereta dan motosikal serta wang yang digunakan untuk menyogok polis.
Rosman berkata, hasil siasatan, pihaknya percaya kesemua rokok seludup terbabit diperoleh dari negara luar.
"Kita percaya ini bukan kali pertama dia buat benda ni," katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.