Polis Marin rampas rokok seludup bernilai RM1.7 juta di Manjung

Bernama
Februari 19, 2023 20:20 MYT
Mohd Yusri berkata, pihaknya memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan rokok untuk menghubungi balai polis berhampiran. - Gambar fail
IPOH: Polis marin merampas 11,590 karton pelbagai jenis rokok yang disyaki diseludup tanpa cukai kastam bernilai kira-kira RM1.7 juta dalam serbuan berasingan di empat buah rumah di sekitar Sitiawan dan Ayer Tawar, Manjung.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata bekalan rokok tersebut ditemukan di lantai ruang tamu kesemua rumah berkenaan yang tidak berpenghuni sewaktu serbuan dilakukan antara jam 1 tengah hari dan 4 petang pada Sabtu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata pihaknya memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan rokok untuk menghubungi balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
#rokok seludup #Mohd Yusri Hassan Basri #manjung #serbuan