Polis Marin patahkan cubaan menyeludup 4,000 anak kura-kura ke Tawau
Petrus Bernard
Februari 4, 2020 20:34 MYT
Februari 4, 2020 20:34 MYT
Cubaan menyeludup masuk 4,000 ekor anak kura-kura jenis muncung babi (carettochelys insculpta) ke Tawau, Sabah melalui Sungai Haji Kuning, Sebatik berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau pada Selasa.
Dalam kejadian kira kira jam 10 pagi itu, PPM Tawau yang menjalankan Ops Gelora di muara Sungai Haji Kuning menahan sebuah bot penumpang yang mencurigakan dengan membawa dua buah kotak dan tiga beg bagasi besar.
Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Superintendan Nazari Ismail berkata setelah ditahan dan diperiksa, didapati kotak dan beg bagasi tersebut berisi anak kura-kura yang masih hidup namun melalui siasatan awal secara lisan terhadap juragan, dia mendakwa tidak mengetahui akan isi kandungan kotak dan beg tersebut.
"Hasil daripada siasatan awal terhadap juragan yang membawa barang-barang tersebut mendapati beliau pun tidak mengetahui apa isi kandungan di dalam beg yang besar itu.
“Beliau tidak mengetahui, beliau diberi upah sebanyak RM50 untuk membawa daripada Sungai Haji Kuning ke Tawau," katanya dalam satu sidang media di bilik gerakan PPM Tawau pada Selasa.
Menurutnya, bagasi tersebut akan dibawa ke Semporna oleh seorang individu yang tidak dikenali hasil maklumat dari seorang pemandu teksi yang memberikan barang tersebut di Haji Kuning untuk dibawa masuk ke Tawau.
Bot beserta juragan dan kesemua barangan yang dibawa diiring masuk ke jeti PPM Tawau untuk siasatan lanjut.
"Tangkapan anak kura-kura ini sebanyak 4,000 ekor, yang mana nilainya mencecah kepada RM250 seekor.
“Ini bermakna anggaran keseluruhan tangkapan dan rampasan bot dan enjin melebihi RM1 juta,” katanya lagi.
Menurut Nazari, tangkapan ini adalah yang pertama membabitkan hidupan liar bagi tahun 2020 dan siasatan akan dijalankan mengikut enakmen pemeliharaan hidupan liar.
Untuk rekod, kura-kura jenis muncung babi ini tidak terdapat di sekitar negeri Sabah tetapi banyak ditemui di kepulauan Papua di Indonesia dan merupakan hidangan makanan eksotik penduduk pulau berkenaan.
#anak kura-kura
#cubaan menyeludup
#Kepulauan Papua
#Ops Gelora
#Pasukan Polis Marin
#PPM Tawau
#Sungai Haji Kuning
#Tawau