Polis Marin Johor pintas cubaan seludup rokok guna kapal kargo
Astro Awani
Mac 10, 2021 14:20 MYT
Mac 10, 2021 14:20 MYT
PONTIAN: Pasukan Polis Marin Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dipercayai antara yang terbesar di negara ini dengan anggaran rampasan bernilai RM52 juta.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Kententeraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata kejayaan adalah hasil pengintipan yang dijalankan oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Tampoi.
Katanya, hasil dari maklumat, bot ronda pasukan Polis Marin berjaya menahan dan menghentikan sebuah kapal kargo di perairan Pulau Kukup, Pontian, Isnin lalu.
Hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah kotak berwarna coklat pelbagai jenis disyaki rokok yang tidak bercukai kastam yang disembunyikan di dalam petak kargo kapal tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini hari ini.
Polis juga katanya berjaya merampas 7,000 kotak rokok seludup pelbagai jenama dan sebuah kapal kargo bernama MV Chita 2.
Proses dokumentasi dan pengiraan nilai mendapati rampasan rokok beserta kapal adalah dianggarkan bernilai RM70 juta.
Abd Rahim berkata, kapal kargo yang berdaftar di Mongolia itu dikesan membuat perjalanan berulang alik dari perairan Batam ke Perak sejak Februari lalu.
Polis turut menahan kru kapal kargo, 10 lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara Singapura.
Kesemua suspek yang ditahan berumur 22 hingga 60 tahun kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.