Polis Malaysia berjaya tahan pengganas Punjab
Hakim Rahman
November 6, 2014 19:27 MYT
November 6, 2014 19:27 MYT
Setelah hampir lima tahun melarikan diri, akhirnya seorang anggota pengganas Punjab yang disyaki terbabit dengan pembunuhan beberapa tokoh politik dan serangan bom di Punjab, India berjaya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suspek berumur 36 tahun itu ditahan dalam operasi oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di Johor Bahru.
Ketika ditahan pada 24 Oktober lepas, suspek didapati menggunakan pasport palsu Nepal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek warganegara India itu merupakan anggota pengganas Khalistan Tiger Force.
Dia disyaki terbabit dalam pembunuhan bekas Ketua Menteri Punjab, Beant Singh pada 1995 dan Presiden Rashtriya Sikh Sangat, S. Rulda Singh pada Julai 2009.
“Selepas insiden pembunuhan tersebut, suspek dan pemimpin kumpulan pengganas itu, Jagtar Singh Tara telah melarikan diri.
“Mereka didapati bersembunyi di beberapa negara termasuk Nepal dan Thailand sebelum memasuki Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Khalid kumpulan pengganas Khalistan Tiger Force beroperasi di India dan Pakistan.
Ketuanya, Jagtar Singh Tara masih diburu polis antarabangsa (Interpol) dan dipercayai bersembunyi di beberapa negara di Asia Tenggara.
Mengulas lanjut, suspek ditangkap di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Suspek telah dihantar pulang ke India pada Rabu.
Kejayaan itu merupakan hasil kerjasama rapat PDRM dengan pihak berkuasa India.
Setakat ini enam anggota pengganas Sikh berjaya ditangkap bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas sejak 2009.