Polis lupus 985 mesin bitcoin bernilai RM1.97 juta

Bernama
Ogos 19, 2024 16:10 MYT
Hafezul Helmi berkata pelupusan barang kes itu dilakukan dengan mendapat arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas kes terbabit selesai di mahkamah. -Bernama
PARIT: Sebanyak 985 unit mesin dan peralatan melombong bitcoin bernilai kira-kira RM1.97 juta yang dirampas di sekitar daerah ini dalam tempoh 2022 hingga April 2024, dilupuskan hari ini.

Ringkasan AI
  • Sebanyak 985 unit mesin dan peralatan melombong bitcoin bernilai kira-kira RM1.97 juta dirampas dan dilupuskan di Perak Tengah dari 2022 hingga April 2024.
  • Dua lelaki warga tempatan ditahan kerana terlibat dalam aktiviti melombong bitcoin menggunakan beberapa premis di daerah tersebut.
  • Pelupusan barang kes dilakukan oleh ejen berlesen dan berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas mendapat arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah berkata selain barang rampasan, dua lelaki warga tempatan turut ditahan dalam tempoh sama.
"Semua rampasan ini melibatkan 12 kes yang sembilan daripadanya direkodkan pada 2022, dua kes bagi 2023 dan satu kes pada tahun ini.
"Daripada siasatan dijalankan, mereka yang ditahan menggunakan beberapa premis di sekitar daerah ini untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.
Hafezul Helmi berkata pelupusan barang kes itu dilakukan dengan mendapat arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas kes terbabit selesai di mahkamah.
"Proses pelupusan barang ini dilakukan oleh ejen berlesen dan berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu Syarikat Pandamaran Jaya Motor Klang, Selangor.
"Selain itu, ia dilakukan secara kaedah pelupusan terjadual iaitu e-waste dan sisa pepejal di bawah Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang berkuat kuasa," katanya.
Beliau berkata semua mesin itu dirampas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
"Kami menasihati orang ramai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai bukti terhadap kegiatan ini bagi memastikan ia dapat ditangani dengan kaedah penguatkuasaan," katanya.
-- BERNAMA
#Bitcoin #PDRM #mesin dan peralatan melombong #Hafezul Helmi Hamzah