Polis lepaskan tembakan, tahan lelaki cuba langgar anggota

Abd Razak Mohd Ali
November 26, 2020 16:34 MYT
Suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine. -Gambar fail
SLIM RIVER: Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan amaran sebelum menahan seorang lelaki yang memandu secara berbahaya dengan memecut keretanya ketika pemeriksaan di Jalan Kuala Slim, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 petang ketika pasukan pemantauan COVID-19 Balai Polis Slim River membuat pemeriksaan secara rawak di jalan tersebut.
Menurutnya, pasukan itu menahan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki berumur 35 tahun dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, semasa pemeriksaan, suspek telah memecut laju keretanya ke arah pekan Slim River sehingga di hadapan Politeknik, Behrang.
“Pasukan Kereta Peronda (MPV) turut membantu untuk menahan suspek. Salah seorang anggota MPV telah memberi amaran supaya suspek berhenti namun di terus memecut dan cuba melanggar anggota tersebut mengakibatkan beberapa das tembakan dilepaskan dan suspek berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sulizmie Affendy berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek, polis telah menjumpai satu beg galas mengandungi plastik lutsinar, yang dipercayai untuk membungkus dadah.
Menurutnya, suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh selain Seksyen 42(1) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 30 November bagi membantu siasatan.
#polis #tembak #cuba langgar polis #Ipoh #Slim River #Jalan Kuala Slim #tembakan #Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman
;