Polis lepaskan tembakan selepas anggotanya hampir dirempuh

Bernama
April 1, 2022 06:30 MYT
Ramli berkata pemeriksaan lanjut menemukan 12 lelaki warga Myanmar menaiki kenderaan itu. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan dan membawa 12 warga Myanmar tanpa dokumen pengenalan diri berjaya ditahan polis selepas bertindak nekad meloloskan diri daripada sebuah sekatan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di Gambang, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata tindakan suspek berusia 33 tahun yang memandu Nissan X-Trail itu menyebabkan polis melepaskan lima das tembakan termasuk ke arah tayar hadapan kenderaan itu yang akhirnya berhenti selepas satu kilometer akibat tayar pancit.
"Suspek sebelum itu dikatakan memecut laju kenderaannya secara tiba-tiba semasa menghampiri SJR berkaitan Operasi Samseng Jalanan di Kilometer 200 lebuh raya itu dan menggunakan lorong kecemasan untuk melarikan diri sebelum cuba memasuki semula lorong laju sehingga hampir melanggar anggota polis yang bertugas.
Polis melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran namun pemandu enggan berhenti menyebabkan kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) terpaksa mengejarnya. Selepas kenderaan berhenti, suspek juga telah melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum berjaya ditangkap," katanya semasa dihubungi di sini semalam.
Ramli berkata pemeriksaan lanjut menemukan 12 lelaki warga Myanmar menaiki kenderaan itu, selain seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai anak saudara kepada suspek yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian pada 11 pagi itu, walaupun kenderaan suspek telah melanggar sebuah kenderaan semasa cuba melarikan diri.
Kenderaan itu dipercayai dari Kelantan menuju ke Petaling Jaya, Selangor.
Semua mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut termasuk di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang tugas polis serta Akta Imigresen 1959.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi berkenaan, Ramli berkata operasi melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan serta Bukit Aman yang bermula dari 10 pagi itu menyaksikan 138 saman dikeluarkan, 14 motosikal disita serta tiga individu ditahan atas pelbagai kesalahan.
-- BERNAMA
#warga asing #pati #Myanmar #LPT1
;