Polis lepaskan tembakan cuba tahan suspek pecah rumah

Bernama
Julai 25, 2018 19:22 MYT
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, anggota polis berkenaan bersama rakan setugasnya dari Unit Rondaan Bermotosikal sedang menjalankan Op Harapan. - Gambar fail
Seorang anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta jenis BMW dinaiki tiga lelaki yang cuba merempuhnya ketika diarah berhenti selepas mereka cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Sejahtera Permai, Machang Bubok di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, anggota polis berkenaan bersama rakan setugasnya dari Unit Rondaan Bermotosikal sedang menjalankan Op Harapan di sekitar kawasan itu apabila mendapat maklumat berhubung suspek cuba pecah rumah menaiki kereta jenis BMW.
"Dua anggota polis itu bergegas ke lokasi dan berjumpa dengan penduduk di situ tetapi diberitahu tiga lelaki terbabit telah melarikan diri dengan sebuah kereta BMW sebaik menyedari tindakan mereka cuba memecah masuk sebuah rumah di situ disedari jiran mangsa.
"Anggota polis itu terserempak dengan kereta itu di simpang keluar Taman Remia dan mengarahkan pemandu kenderaan berkenaan berhenti namun suspek terus memandu laju dan cuba melanggar polis menyebabkan anggota polis terjatuh dari motosikalnya," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata anggota itu kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah kereta suspek namun pemandunya terus memecut laju ke arah Jalan Kulim dan dikejar oleh polis tetapi tidak berjaya ditahan.
Nik Ros Azhan berkata kereta BMW dinaiki tiga lelaki itu ditemui terbakar di Taiping, Perak pukul 9.30 malam tadi, dipercayai sengaja dibakar untuk cuba menghapuskan bukti kegiatan jenayah.
"Kereta itu milik seorang lelaki di Kuala Lumpur dan pernah dilapor hilang di Machang Bubok. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan tiga lelaki terbabit yang dipercayai geng pecah rumah yang aktif di sekitar Pulau Pinang dan Selangor," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Nik Ros Azhan berkata beberapa jalan di kawasan Bukit Mertajam akan ditutup mulai 10 pagi 28 Julai hingga 12 tengah hari keesokannya sempena perayaan St Anne di Gereja St Anne, Bukit Mertajam.
Beliau berkata penutupan jalan melibatkan lencongan persimpangan lampu isyarat Taman Bandaraya (dari arah Kulim), Jalan Bukit Indah/Jalan Sepakat dan lencongan ke Jalan Kampung Baru (Jalan Kulim dari arah Bukit Mertajam).
"Pengguna yang datang dari Kulim menuju Butterworth dinasihat menggunakan Jalan Rodzhan, Jalan Bukit Tengah dan Lebuhraya Utara-Selatan. Mereka juga boleh menggunakan Jalan Kulim, Sungai Lembu, Kubang Semang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim Ekpressway (BKE)," katanya.
Beliau berkata dari arah Butterworth menuju Kulim pula, pengguna disaran menggunakan Lebuhraya BKE atau Lebuhraya Utara-Selatan menuju Bukit Tengah dan Jalan Rodzhan untuk ke Jalan Kulim.
-- BERNAMA
#BMW #pecah rumah #siasatan #tembakan
;