Polis lengkapkan kertas siasatan kes salah laku seksual guru wanita, pelajar
Bernama
Mac 25, 2024 05:20 MYT
Mac 25, 2024 05:20 MYT
KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan seorang guru wanita bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes mencabul seorang pelajar lelaki yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, rakaman percakapan guru berumur 37 tahun terbabit dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor, semalam.
"Hanya dirakam percakapan, suspek kes ini tidak ditangkap. Beberapa individu lain juga dirakam percakapan termasuk pengadu dan saksi yang melihat atau tahu hal yang berkaitan," katanya ringkas ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
"Pihak polis menasihati orang awam untuk tidak menimbulkan spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini," katanya.
Wan Kamarul Azran berkata, mangsa juga telah dirujuk ke sebuah hospital kerajaan untuk pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, polis menerima laporan pada 12 Dis lepas mendakwa suspek mencabul mangsa ketika mengulang kaji pelajaran bersama guru terbabit di perpustakaan. - BERNAMA