Polis Langkawi sasar 10,000 orang daftar sistem barkod cegah kecurian motosikal

Bernama
April 16, 2017 15:33 MYT
Polis Langkawi meletakkan sasaran untuk mendaftarkan 10,000 pemilik motosikal di bawah sistem barkod pencegahan kecurian sebelum akhir tahun ini, kata Ketua Polis Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang.
Katanya, sistem yang diperkenalkan sejak 16 Oktober lepas telah mendapat sambutan hangat dan sehingga kini kira-kira 2,000 pemilik motosikal di sini telah mendaftar kenderaan mereka secara percuma.
"Berdasarkan sambutan ini, saya rasakan tidak mustahil untuk mencapai angka 10,000 pemilik menjelang akhir tahun ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan kempen derma darah sempena Sambutan Hari Polis ke-210 di sini hari ini.
Menurutnya, sistem yang berjaya meraih anugerah tempat kedua Pertandingan Inovasi Polis Diraja Malaysia tahun lepas itu telah menunjukkan keberkesanannya apabila berjaya menurunkan jumlah kes kecurian motosikal secara drastik di Langkawi.
"Sebelum pengenalan sistem ini, kami menerima secara purata 15 laporan kecurian motosikal sebulan dan selepas sistem ini beroperasi, ia telah menurun kepada purata dua hingga tiga kes sebulan sahaja," katanya.
Berikutan kejayaan ini, beliau berkata Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, telah mencadangkan supaya sistem yang pertama seumpama ini di Malaysia dapat diselaraskan bagi membolehkannya dilaksanakan di seluruh negeri ini.
Ghazali berkata sistem barkod pencegahan kecurian ini berfungsi menggunakan pelekat barkod khas yang dipasang pada setiap motosikal yang mengandungi maklumat pendaftarannya yang boleh diimbas dengan cepat oleh mana-mana anggota polis.
Katanya maklumat pendaftaran motosikal ini diperoleh selepas pemilik kenderaan itu mendaftarkan diri secara percuma di Ibu Pejabat Polis Langkawi yang menyediakan satu pangkalan data untuk menyimpan maklumat berkenaan.
Ghazali yang mengetuai sendiri pembangunan sistem itu sejak 2015 berkata ia dapat menjadi landasan untuk menurunkan lagi kadar kes kecurian motosikal di Langkawi.
"Biarpun masih berlaku kes kecurian motosikal, kajian kami mendapati kesemua kenderaan yang dicuri ini belum mendaftar di bawah sistem ini. Kalau semua pemilik (motosikal di Langkawi) mendaftar, saya percaya matlamat sifar curi motosikal tidak mustahil untuk dicapai," katanya.
-- BERNAMA
#barkod #curi motor #jenayah #Kedah #Langkawi #motosikal #Polis Diraja Malaysia #sistem
;